Empat penghuni pusat jagaan didakwa sebabkan kematian rakan
Empat penghuni pusat jagaan didakwa sebabkan kematian rakan
IPOH: Empat penghuni sebuah pusat penjagaan di Tanjung Rambutan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang rakan penghuni, minggu lalu.
Seorang daripada tertuduh, Ahmad Faiz Mohd Rauhi didakwa membunuh Mohd Fauzir Hussin, manakala tiga lagi, Zaid Shaari, Radzuan Suboh dan Abdul Halim Mohd Niza dituduh menyebabkan kematian mangsa dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tidak boleh dijamin.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Jagaan Bakti, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan antara jam 5 petang hingga 5.41 petang, 4 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan menyebabkan kematian mangsa dengan niat hendak menyebabkan kematian di lokasi, masa dan tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sejurus pertuduhan dibacakan, Abdul Halim memaklumkan mahkamah bahawa dia menghidap skizofrenia dan pernah menerima rawatan di Hospital Bahagia sebelum ditempatkan di pusat penjagaan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin berkata, pihak pendakwaan sudah menyemak kertas siasatan dan setakat ini tiada sebarang maklumat rasmi berkaitan penyakit mental tertuduh.
Mahkamah kemudian memerintahkan Abdul Halim menjalani pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Tatacara Kanun Jenayah bagi menentukan tahap kesihatan mental dan kelayakannya untuk dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan psikiatri.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
