Tiga lelaki ditahan, 340 liter air ketum dirampas di Raub
Tiga lelaki ditahan, 340 liter air ketum dirampas di Raub
RAUB – Tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan selepas polis menemukan 340 bungkus plastik berisi cecair disyaki air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Raub Jaya, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kira-kira jam 8 malam, 5 Ogos lalu.
“Selain 340 liter cecair disyaki air ketum, polis turut merampas empat periuk aluminium mengandungi kira-kira 120 kilogram daun hijau disyaki daun ketum.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4,610. Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohd Shahril berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah atau air ketum diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.-SAHIH.
