Latihan MFAR Perkasa Homestay Mesra Muslim
Latihan MFAR Perkasa Homestay Mesra Muslim
TEMERLOH : Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM) menyifatkan pelaksanaan Program Latihan Kompetensi Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) sebagai langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan pengusaha homestay negara bagi memenuhi permintaan pelancongan mesra Muslim yang semakin berkembang.
Presiden PPHM, Datuk Haji Sahariman Hamdan berkata, program yang berlangsung di Kampungstay Desa Murni di sini pada 4 dan 5 Ogos itu adalah hasil kerjasama strategik bersama Islamic Tourism Centre (ITC) serta selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, latihan berasaskan kompetensi itu bukan sahaja meningkatkan kemahiran pengusaha homestay dalam aspek pengurusan hospitaliti, malah membantu menyediakan pengalaman penginapan yang lebih diyakini, selesa dan memenuhi keperluan pelancong domestik serta antarabangsa.
“MFAR menjadi antara kerangka penting untuk meningkatkan tahap pematuhan, profesionalisme dan keyakinan pasaran terhadap produk Homestay Malaysia serta Kampungstay.
“Peserta turut didedahkan dengan konsep pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim, kepentingan pensijilan halal, penyediaan makanan dan minuman halal, kemudahan asas Muslim, dokumentasi permohonan pengiktirafan MFAR serta penggunaan logo MFAR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, latihan itu juga berupaya melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia dari segi operasi hospitaliti, pematuhan syariah, komunikasi, penambahbaikan perkhidmatan dan pembinaan nilai profesional dalam kalangan komuniti homestay.

Katanya, manfaat program itu bukan hanya dirasai pengusaha homestay, malah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat termasuk keluarga angkat, belia, usahawan makanan, pembekal produk tempatan dan perusahaan mikro luar bandar.
Sahariman berkata, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, PPHM turut menyasarkan Program Pengalaman Homestay Malaysia menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM100 juta tahun ini berbanding RM62 juta yang direkodkan pada 2025.
“PPHM yakin kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ITC serta semua pihak berkaitan mampu memperluaskan manfaat latihan ini ke seluruh negara sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim dan pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.-SAHIH
