Pahang Sasar 35 Emas pada SUKMA Selangor 2026
Pahang Sasar 35 Emas pada SUKMA Selangor 2026
KUANTAN – Kontinjen Pahang menyasarkan kutipan 35 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, manakala kontinjen Para SUKMA pula meletakkan sasaran 15 pingat emas berdasarkan prestasi semasa dan potensi atlet negeri itu.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, seramai 737 atlet akan mewakili Pahang pada SUKMA kali ini, terdiri daripada 397 atlet lelaki dan 340 wanita. Bagi Para SUKMA, seramai 75 atlet akan beraksi membabitkan 49 lelaki dan 26 wanita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang ke SUKMA dan Para SUKMA yang disempurnakan oleh Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Menurut Fadzli, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi persiapan kontinjen, termasuk kos penginapan, pengangkutan dan makan minum atlet sepanjang temasya berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.
Katanya, peruntukan tambahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri membolehkan kebajikan atlet terus terpelihara dan persiapan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Beliau berkata, acara menembak dijangka menjadi penyumbang utama pingat emas selepas meraih 12 emas pada SUKMA lalu. Selain itu, Pahang turut menaruh harapan kepada acara angkat berat, silat, memanah, judo, karate, taekwondo dan olahraga.
Sebagai suntikan semangat, kerajaan negeri mengekalkan ganjaran RM6,000 kepada setiap pemenang pingat emas individu.-SAHIH.
