KRT Kasturisari gabung keibubapaan dan Seni Gayong bentuk jati diri anak
Foto ; Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menjalani latihan Seni Gayong Serantau Gelanggang KRT Kasturisari.
KRT Kasturisari gabung keibubapaan dan Seni Gayong bentuk jati diri anak
Hulu Selangor – Peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah dan akhlak anak perlu diperkukuhkan melalui didikan agama, teladan yang baik serta komunikasi berkesan bagi melahirkan generasi berdisiplin, berintegriti dan berakhlak mulia.
Atas kesedaran itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14 (RT Progresif), Bandar Sungai Buaya (BSB), Hulu Selangor dengan kerjasama ibu bapa Pertubuhan Seni Gayong Serantau Gelanggang Kasturisari menganjurkan Program Naungan Kasih di Dewan Terbuka Pusat Komuniti KRT Kasturisari pada 17 Julai lalu.
Program berkenaan dikendalikan oleh penceramah jemputan, Mahsuri Md. Desa bersama pasukannya yang berkongsi ilmu mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk sahsiah, disiplin dan kesejahteraan anak-anak bermula seawal usia dua hingga enam tahun sehingga peringkat sekolah rendah.
Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali berkata, program itu bertujuan memperkukuhkan institusi kekeluargaan melalui perkongsian ilmu keibubapaan, khususnya kepada ibu bapa yang menunggu anak mengikuti latihan Seni Gayong Serantau di gelanggang berkenaan.
Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada ibu bapa memberi inspirasi kepada pihak KRT untuk menyediakan pengisian yang lebih bermanfaat dalam membantu mereka mendidik anak-anak menjadi insan berakhlak mulia.
Beliau berkata, pelbagai cabaran semasa seperti isu disiplin, pengaruh negatif persekitaran dan perkembangan sosial memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kesejahteraan institusi keluarga terus terpelihara.
“Program ini bukan bertujuan menggantikan usaha pihak lain, sebaliknya melengkapkan inisiatif sedia ada dalam membentuk keperibadian anak-anak sejak usia muda. Sambutan diterima amat positif kerana ibu bapa berpeluang bertukar pandangan dan mendapatkan panduan secara langsung daripada penceramah,” katanya.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengerusi Persatuan Pengusaha Tadika Swasta Hulu Selangor, Zaiton Ishak.
Dalam perkembangan sama, Mahmod berkata, latihan Seni Gayong Serantau yang diadakan setiap Jumaat dari jam 9.15 malam hingga 10.45 malam mendapat sambutan murid dan pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun.
Katanya, selain mempertahankan warisan seni bela diri Melayu, latihan itu turut membentuk disiplin, jati diri, semangat hormat-menghormati, tanggungjawab serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.-SAHIH.
