PM puji Pahang paling pantas jayakan agenda perumahan generasi baharu FELDA
PM puji Pahang paling pantas jayakan agenda perumahan generasi baharu FELDA
MARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana disifatkan antara negeri yang paling pantas menyahut usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu perumahan generasi baharu FELDA.
Beliau berkata, kerjasama erat yang ditunjukkan kerajaan negeri membolehkan beberapa perkara berkaitan penyediaan tanah, utiliti dan pelaksanaan projek diberi perhatian lebih awal demi kepentingan peneroka serta generasi baharu FELDA.
“Terima kasih Datuk Seri Wan Rosdy. Negeri Pahang antara yang paling cepat menyambut seruan kita bagi menyelesaikan isu ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA di sini, hari ini.
Anwar berkata, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah cadangan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju melaksanakan proses pemutihan terhadap kira-kira 8,000 unit rumah Dua Rumah Satu Lot (2R1L) yang siap dibina sebelum 31 Disember 2025 supaya penyambungan bekalan air dan elektrik dapat dilakukan dengan segera.
Beliau berkata, kejayaan inisiatif itu memerlukan kerjasama erat kerajaan negeri, syarikat utiliti serta pengurusan FELDA bagi memastikan segala urusan dapat diselesaikan tanpa kelewatan.
Katanya, Pahang menjadi contoh bagaimana kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu mempercepatkan penyelesaian isu yang sekian lama membelenggu warga FELDA, khususnya membabitkan keperluan perumahan generasi kedua dan ketiga peneroka.
Anwar berkata, kerajaan komited meneruskan kerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan warga FELDA di seluruh negara.-SAHIH
