Tindakan Mohd Puad Keluar UMNO Hak Individu – Wan Rosdy
Tindakan Mohd Puad Keluar UMNO Hak Individu – Wan Rosdy
JERANTUT – UMNO menghormati keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, yang mengumumkan keluar daripada parti kerana ia merupakan hak individu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu tidak akan menjejaskan perjalanan parti, termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Beliau mahu keluar, kita tidak boleh menghalang kerana itu hak beliau. Namun UMNO akan terus bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan kepada perjuangan membela kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda (STRGBF) Kota Gelanggi 1, 2 dan 4 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, UMNO sebelum ini pernah melalui beberapa episod keluar masuk pemimpin, namun ia tidak menjejaskan perjuangan parti, sebaliknya terus kukuh dalam membela kepentingan rakyat dan orang Melayu. – SAHIH
