Gendang Pahang, budaya berderau jadi identiti FELDA Jengka 24
Gendang Pahang, budaya berderau jadi identiti FELDA Jengka 24
JERANTUT: FELDA Jengka 24 mahu menjadikan keunikan seni tradisional Pahang dan budaya berderau sebagai identiti tersendiri dalam usaha mengekalkan warisan masyarakat peneroka daripada terus dilupakan generasi muda.
Gendang Pahang, seni silat, tari piring dan nyanyian tradisional antara elemen diketengahkan masyarakat rancangan itu sempena penilaian Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA pada 4 November depan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pendekatan berkenaan bukan sekadar memperkenalkan seni budaya negeri, sebaliknya mengangkat semangat kerjasama dan perpaduan yang menjadi kekuatan masyarakat peneroka sejak dahulu.
Katanya, budaya berderau atau gotong-royong yang pernah menjadi amalan masyarakat kampung semakin terhakis akibat perubahan gaya hidup dan perlu dihidupkan semula.
“Semangat berderau bukan perkara baharu dalam kehidupan peneroka kerana sejak dahulu masyarakat saling membantu menyelesaikan pekerjaan, bergotong-royong dan membantu jiran tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Kita mahu budaya ini terus menjadi amalan masyarakat FELDA Jengka 24, khususnya generasi muda supaya mereka memahami pentingnya semangat kebersamaan dalam membangunkan komuniti,” katanya ketika ditemui di sini.
Razak berkata, penilaian anugerah berkenaan menjadi peluang terbaik untuk memperlihatkan keistimewaan FELDA Jengka 24 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, malah pemeliharaan warisan budaya.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebudayaan juga mampu mengeratkan hubungan antara generasi peneroka serta memupuk semangat cintakan warisan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, FELDA Jengka 24 pernah mencatat sejarah apabila 292 peneroka menerima suratan hak milik tanah pada Januari 2024 selepas hampir 40 tahun menunggu.
Penyerahan suratan hak milik dan kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA itu disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan hampir RM1 juta bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur termasuk jambatan, tandas masjid, bumbung sekolah agama, padang bola serta keperluan pembinaan dewan terbuka.
Razak berkata, pembangunan sesebuah rancangan FELDA tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan perpaduan, semangat berderau dan nilai kemasyarakatan yang diwarisi sejak turun-temurun.-SAHIH
#FELDAJengka24 #BudayaBerderau #GendangPahang #WarisanBudaya
