Graduan, pekerja separa mahir bakal ada panduan gaji permulaan
Graduan, pekerja separa mahir bakal ada panduan gaji permulaan
PUTRAJAYA: Graduan dan pekerja separa mahir bakal mempunyai panduan lebih jelas mengenai kadar gaji pokok permulaan berdasarkan kelayakan akademik, tahap kemahiran serta jenis pekerjaan yang diceburi.
Langkah itu susulan pengumuman dalam Belanjawan 2027 apabila Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyediakan garis panduan khusus sebagai rujukan kepada majikan dan pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) akan memperincikan penanda aras gaji mengikut kategori pekerjaan dan kelayakan.
Katanya, pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada kategori MASCO 1 hingga MASCO 3 yang membabitkan graduan lepasan institusi pengajian tinggi dan pemegang sijil kemahiran tertentu.
“KESUMA mencadangkan penanda aras gaji bagi MASCO 1 hingga MASCO 3 yang melibatkan graduan lepasan ijazah, diploma, Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5, Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 akan dilaksanakan terlebih dahulu dalam bentuk garis panduan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya, Jumaat lalu.
Ramanan berkata, bagi pekerja separa mahir pula, kementerian akan menyelaraskan pendekatan berkenaan menerusi Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berasaskan Kemahiran.
Katanya, pendekatan itu turut membabitkan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai rujukan gaji yang bersesuaian dengan kemahiran dimiliki.
Menurutnya, penyelarasan itu membolehkan kerangka gaji pokok permulaan diperluaskan secara lebih menyeluruh sehingga meliputi kategori MASCO 8.
Garis panduan berkenaan dijangka diterbitkan pada Jun 2027, selaras dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu.
Maklumat berkaitan kadar gaji pokok permulaan itu juga akan dikemas kini melalui portal e-MASCO bagi memudahkan majikan dan pekerja mendapatkan rujukan berdasarkan pekerjaan, kelayakan serta kemahiran masing-masing.-SAHIH
#GajiPermulaan #Graduan #KESUMA #Belanjawan2027
