Gaji minimum RM2,000 bukan angka dibuat sesuka hati
Gaji minimum RM2,000 bukan angka dibuat sesuka hati
PUTRAJAYA: Penetapan gaji minimum RM2,000 sebulan yang bakal berkuat kuasa Jun tahun depan bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan kajian menyeluruh bagi memastikan kadar itu tidak membebankan pekerja mahupun majikan.
Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, keputusan itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup serta kemampuan majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, sebanyak 21 sesi libat urus diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk majikan, pekerja, ahli akademik dan perunding sebelum kadar berkenaan dimuktamadkan.
“Saya percaya kita tidaklah menggunakan angka-angka yang sewenang-wenangnya. Tapi berdasarkan kajian oleh para akademik dan pihak konsultan, apa yang diunjurkan kita ialah satu kadar yang bertepatan dan munasabah.
“Ia tidaklah membebankan pada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat lalu.
Zainal Rahim berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan bersesuaian dengan memberikan kelonggaran kepada PMKS yang mencatatkan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada kewajipan melaksanakan kadar gaji minimum baharu itu.
Menurutnya, pengecualian berkenaan memberi ruang kepada perusahaan terbabit menyesuaikan operasi dan kemampuan kewangan masing-masing.
Katanya, walaupun pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mempunyai cabaran tersendiri, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pekerja memperoleh pendapatan munasabah.
“Keperluan pekerja mendapatkan gaji yang bersesuaian dengan kos kehidupan dan meningkatkan kuasa beli perlu diberikan perhatian tanpa mengabaikan kemampuan majikan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan seimbang antara kepentingan pekerja dan majikan menjadi asas utama dalam menentukan kadar gaji minimum negara.
Sebelum ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.-SAHIH
#GajiMinimum #MPGN #Pekerja #Belanjawan2027
