Baju, bilik cucu masih tak terusik, Khya Abas luluh hati
Baju, bilik cucu masih tak terusik, Khya Abas luluh hati
BATU PAHAT: “Bila pandang pakaian dan bilik dia, saya masih tak boleh usik. Memang luruh hati.”
Itu luahan pilu Khyar Abas, 69, yang masih sukar menerima kehilangan cucu kesayangannya, Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal, 16, yang dipercayai dibunuh rakan sekelasnya pada 3 Oktober lalu.
Walaupun hampir dua minggu berlalu, Khyar mengakui kenangan bersama Allahyarham masih segar dalam ingatan, terutama apabila melihat pakaian dan bilik cucunya yang dibiarkan seperti keadaan asal.
Katanya, dia bersama isteri masih terasa seolah-olah Irene Sofiya berada di rumah kerana sebelum kejadian, mereka bertiga tinggal bersama.
“Allahuakbar! Memang masih tidak boleh lupa cucu saya. Di rumah, saya dengan isteri dan cucu, kami bertiga.
“Dia sentiasa ada dengan saya, jadi saya terasa sangat kehilangan cucu saya ini.
“Bila pandang pakaian dan bilik dia, saya masih tak boleh usik. Bilik yang saya sediakan untuk dia, barang-barang dia pun saya tak boleh usik sebab masih terbayang. Memang luruhlah hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Parit Selamat, di sini, Khamis lalu.
Khyar berkata, kehilangan cucu tersayang itu meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga, namun mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Katanya, keluarga berharap keadilan dapat ditegakkan buat Irene Sofiya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah serta agensi kerajaan yang tampil memberikan sokongan moral kepada keluarganya.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth, Yong Peng, kira-kira jam 5 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-SAHIH
#IreneSofiya #YongPeng #KesBunuh #BatuPahat
