RM300 juta perkasa industri francais, buka peluang usahawan kecil
RM300 juta perkasa industri francais, buka peluang usahawan kecil
JOHOR BAHRU: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyediakan pembiayaan RM300 juta tahun depan bagi memperkasakan industri francais negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil menceburi sektor berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus diperuntukkan kepada francaisor atau pemilik jenama, manakala baki 70 peratus disalurkan kepada francaisi.
Menurutnya, langkah itu turut diperkukuh menerusi kemudahan pembiayaan perniagaan dan fasiliti mikro berjumlah RM6.6 bilion di bawah inisiatif Belanjawan bagi membantu usahawan memperoleh modal serta mengembangkan perniagaan.
“Industri francais bukan hanya membabitkan sektor makanan dan minuman (F&B), sebaliknya turut merangkumi perkhidmatan, perundingan, tadika dan pendidikan prasekolah.
“Francais ini membabitkan bukan sahaja F&B tetapi juga perkhidmatan. Sekarang ini perundingan pun ada yang perlu berdaftar, termasuk tadika dan pendidikan prasekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Road to FIM2027 bertemakan ‘Dari Lokal Menuju Global’ di Paradigm Mall Convention Centre, di sini, semalam.
Fuziah berkata, program jelajah yang bermula di Zon Selatan itu menghimpunkan 26 jenama menerusi 34 ruang pameran membabitkan sektor F&B, pendidikan, perkhidmatan serta kesihatan dan kecantikan.
Katanya, penganjuran program berkenaan bertujuan mengubah persepsi masyarakat bahawa perniagaan francais hanya mampu diceburi syarikat besar.
“Sebanyak 16 sijil pendaftaran francais turut diserahkan kepada francaisor baharu, sekali gus membuktikan industri ini semakin berkembang dalam pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata, industri francais berpotensi menjadi antara pemacu utama ekonomi negara apabila nilai jualan domestik diunjurkan mencecah RM100 bilion menjelang 2030 berbanding RM46 bilion pada 2025.
Menurutnya, Road to FIM2027 menjadi program awal menjelang Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2027) yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 hingga 8 Mei tahun depan.
Sebagai rekod, FIM2026 menarik penyertaan 159 pempamer tempatan dan antarabangsa dengan kehadiran lebih 26,000 pengunjung serta mencatatkan potensi pelaburan melebihi RM600 juta.-SAHIH
#IndustriFrancais #Pernas #FIM2027 #Usahawan
