KOPEKS Rancang Buka Pusat Dialisis, Ringankan Beban Pesakit Sabah
KOPEKS Rancang Buka Pusat Dialisis, Ringankan Beban Pesakit Sabah
KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) merancang menubuhkan pusat dialisis di beberapa lokasi termasuk Kota Kinabalu dan Tuaran bagi membantu memenuhi keperluan rawatan pesakit buah pinggang di negeri itu.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, usaha koperasi berkenaan menceburi sektor perkhidmatan kesihatan amat bertepatan dengan matlamat meningkatkan kapasiti perniagaan berimpak tinggi di samping memberi manfaat kepada anggota serta masyarakat.
Beliau berkata, dianggarkan lebih 2,000 pesakit di Sabah memerlukan rawatan dialisis dan keperluan terhadap kemudahan berkenaan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Kerajaan negeri sebelum ini menyumbang 100 unit mesin dialisis bernilai RM4 juta kepada hospital berkaitan bagi memperluaskan akses rawatan kepada pesakit.

“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan oleh koperasi ini dapat menawarkan kadar bayaran yang berpatutan bagi meringankan beban pesakit dan keluarga mereka,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-49 KOPEKS di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, kelmarin.
Menurutnya, penglibatan KOPEKS dalam bidang kesihatan mencerminkan keprihatinan koperasi terhadap kebajikan anggota dan masyarakat, selain membuka peluang kepada lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan berkualiti pada kos yang munasabah.
Katanya, inisiatif itu juga wajar dicontohi koperasi lain kerana selaras dengan objektif gerakan koperasi yang bukan sahaja menjana keuntungan, malah mengutamakan kesejahteraan anggota dan komuniti setempat.
Sementara itu, Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Haji Saat Ag Damit berkata, koperasi berkenaan akan menjalinkan kerjasama strategik dengan MyANGKASA Dialisis bagi mempelajari aspek pengurusan serta operasi perkhidmatan dialisis sebelum memperluaskan perkhidmatan itu ke beberapa lokasi.
Beliau berkata, selain Kota Kinabalu dan Tuaran, KOPEKS turut merancang membuka sebuah lagi cawangan Ar-Rahnu X’Change di Tawau bagi memperkukuhkan rangkaian perniagaannya.
Pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KOPEKS dan Koperasi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei Berhad, selain pemeteraian dokumen kerjasama perniagaan dialisis bersama MyANGKASA Dialisis Sdn Bhd serta perjanjian francais Ar-Rahnu X’Change Tawau dengan Rakyat Management Services Sdn Bhd.

Majlis turut menyaksikan pelancaran akhbar Kinabalu Media, penyerahan dana modal pusingan RM30 juta daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad kepada KOPEKS serta penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
KOPEKS yang kini berusia 63 tahun mempunyai 6,129 anggota dengan jumlah aset melebihi RM142.5 juta serta mengendalikan pelbagai perniagaan termasuk kemudahan kredit, Ar-Rahnu X’Change, sewaan hartanah dan klinik kesihatan.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Haji Awang Ruslli Mohammad; Konsul Agung Negara Brunei Darussalam, Dayang Fauzana Octavia Alli; Presiden ANGKASA, Abdul Fattah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr Zhamriee Gulamrasul; Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Datuk Dr Haji Nasaruddin Othman; Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui; Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS), Haji Mohamad Azwani Asa’d; Pengerusi KOPDPPMB Berhad, Haji Musa Haji Adnin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Haji Abdullah Haji Jusoh. – SAHIH
