MENYAMAR POLIS LARIKAN MPV
SHAH ALAM: Dua suspek bertindak nekad melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik PDRM di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 9.40 malam itu, suspek dikatakan melarikan kenderaan berkenaan yang ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).
Kereta MPV milik PDRM yang dipercayai dilarikan suspek/gambar ihsan PDRM
Sumber berkata, suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis dengan memasuki kawasan IPD dengan menunggang motosikal.
“Suspek kemudiannya mendakwa mahu melakukan pemeriksaan terhadap MPV berkenaan sebelum melarikan salah sebuah kereta peronda polis itu.
“Susulan itu polis melancarkan gerakan bagi memburu suspek yang dipercayai melarikan kenderaan itu ke selatan tanah air,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Difahamkan, kereta MPV polis itu akhirnya berjaya ditemui semula berhampiran lampu isyarat di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, sekitar jam 2 pagi tadi.
“Dua suspek membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20-an dan 30-an yang melarikan MPV itu berjaya diberkas di lokasi kejadian.
“Ada kemungkinan kereta MPV yang dilarikan itu kehabisan petrol. Motif kereta MPV itu dilarikan masih disiasat,” katanya.
Salah seorang suspek berjaya diberkas selepas melarikan MPV milik PDRM/gambar ihsan PDRM
Menurutnya, kedua-dua suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Kereta MPV Honda Civic 1.8S adalah kenderaan terbaru digunakan PDRM yang dilengkapi peralatan komunikasi dan kamera berteknologi terkini sejak pertengahan September lalu.
Sebanyak 425 kereta Honda Civic 1.8S yang dilengkapi peralatan komunikasi RMPNet, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih digunakan PDRM dengan menelan kos keseluruhan bernilai RM67 juta.