KOPROJAYA Terus Kukuh, Jadi Model Koperasi Berdaya Saing
Writing
KOPROJAYA Terus Kukuh, Jadi Model Koperasi Berdaya Saing
PUTRAJAYA: Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus serta merangka strategi pertumbuhan mampan demi manfaat anggotanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gerakan koperasi perlu terus menjadi instrumen penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat serta mengurangkan jurang sosioekonomi melalui penyertaan yang lebih meluas dalam sektor strategik.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya itu turut menjadi medan membentangkan pencapaian koperasi, menilai prestasi perniagaan serta merangka hala tuju strategik bagi memastikan pertumbuhan berterusan dan peningkatan manfaat kepada anggota.
Menurut beliau, koperasi perlu berani meneroka bidang baharu, memperkukuh daya saing serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh anggota dan masyarakat.
Beliau turut memuji pencapaian KOPROJAYA yang berjaya mengembangkan aktiviti perniagaannya secara progresif sehingga menjadi contoh kepada koperasi lain dalam membina ekosistem ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, mesyuarat agung kali ke-10 itu membuktikan kematangan KOPROJAYA dalam mengurus organisasi dan perniagaannya secara profesional.
Menurutnya, KOPROJAYA membuktikan koperasi mampu berkembang sebagai entiti perniagaan yang berdaya maju apabila dipacu oleh kepimpinan yang berwawasan, tadbir urus yang baik serta sokongan padu anggota.
“ANGKASA yakin koperasi ini akan terus menjadi model kejayaan dalam gerakan koperasi negara,” katanya.
Beliau turut menyeru anggota agar terus memperkukuh semangat kebersamaan serta menyokong usaha koperasi meneroka peluang ekonomi baharu yang berimpak tinggi.
Sejak penubuhannya, KOPROJAYA melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada anggotanya termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan, program pembangunan anggota, pelaburan strategik dan pengembangan perniagaan.
Antara perniagaan utama yang diterajui ialah pengurusan aset dan hartanah melalui Wisma KOPROJAYA di Presint 15, pengoperasian stesen minyak Shell Presint 18 serta pengurusan outlet Starbucks di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Koperasi itu turut menjalinkan kerjasama dalam pengurusan kedai automasi Panas Express di beberapa lokasi strategik selain terbabit dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan yang menjana pulangan mampan kepada anggota.
Selain itu, KOPROJAYA memperluaskan jaringan perniagaannya melalui kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi dan koperasi lain dalam sektor hartanah, peruncitan, makanan dan minuman serta pengurusan fasiliti.
Pendekatan diversifikasi perniagaan yang diamalkan membolehkan koperasi itu terus memperkukuh kedudukan kewangannya di samping meningkatkan nilai manfaat kepada anggota.-SAHIH
