At-Tamam Junior Juara Pertandingan Nasyid Daerah Jerantut
Foto : Kumpulan At Tamam yang menjuarai pertandingan itu.
At-Tamam Junior Juara Pertandingan Nasyid Daerah Jerantut
JERANTUT – Kumpulan nasyid At-Tamman Junior muncul juara selepas menewaskan 14 pasukan lain dalam Pertandingan Nasyid Daerah Jerantut yang berlangsung di Dewan Seri Embun, di sini, semalam.
Pertandingan anjuran Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) itu terbuka kepada semua peringkat umur, melibatkan penyertaan kumpulan dewasa, pelajar sekolah menengah serta murid sekolah rendah.

Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Najmatul Amal
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Najmatul Amal yang diwakili murid Sekolah Kebangsaan Jerantut, manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan wanita An Nur Ain dari Kampung Teh.
Bagi kategori anugerah khas, Vokal Terbaik dimenangi oleh penyanyi solo kumpulan An Nur Ain, manakala Anugerah Persembahan Terbaik disandang oleh kumpulan At-Tamam Junior.
Wakil At-Tamam Junior, Muhammad Qamari Irfan, berkata kemenangan itu amat bermakna memandangkan persaingan yang diterima daripada pasukan lain sangat sengit.
“Pertandingan ini sangat hebat kerana hampir semua kumpulan menampilkan persembahan yang berkualiti dengan vokal dan harmoni yang mantap. Kami membuat persiapan hampir dua minggu sebelum pertandingan dan bersyukur usaha tersebut membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Najmatul Amal, Suhaila Abd Jalil, berkata penyertaan pasukan sekolah bersama kumpulan dewasa dan sekolah menengah memberi pengalaman baharu kepada murid-murid.
“Selama ini pasukan sekolah kebiasaannya hanya bertanding sesama sekolah sekali setahun. Saya percaya penganjuran pertandingan seperti ini secara lebih kerap dapat mencungkil bakat baharu serta meningkatkan mutu seni nasyid.
“Selain itu, murid-murid juga berpeluang mempelajari teknik persembahan dan pengalaman daripada pasukan lain yang lebih berpengalaman,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi Kumpulan Wanita An Nur Ain ,Kampung Teh.
Jurulatih kumpulan An Nur Ain, Mariana Yaakob, pula berkata pertandingan tersebut memberi ruang kepada kumpulan nasyid daripada pelbagai peringkat usia untuk mengetengahkan bakat masing-masing.
“Program seperti ini amat bermanfaat kerana bukan sahaja mengasah bakat seni suara, malah menjadi medium dakwah yang positif. Peserta juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah.
“Semua pasukan menunjukkan komitmen dan persembahan yang sangat baik. Saya sendiri tidak menjangka kumpulan kami akan menerima Anugerah Vokal Terbaik,” katanya.
Pertandingan itu berlangsung dalam suasana meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta serta peminat seni nasyid di daerah ini, sekali gus membuktikan bahawa seni nasyid masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.-SAHIH.
