165 Belia ASEAN-Jepun Terokai Keunikan Pahang
165 Belia ASEAN-Jepun Terokai Keunikan Pahang
TEMERLOH – Seramai 165 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Program Kepimpinan Belia ASEAN-Jepun (Japan ASEAN Youth Leadership 2.0) yang membuka peluang kepada golongan muda merasai pengalaman budaya Malaysia serta meneroka destinasi pelancongan menarik di Pahang.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, program itu menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan belia pelbagai negara selain mempromosikan keunikan budaya dan produk pelancongan negeri ini.
Menurutnya, program berkenaan berjaya menghimpunkan peserta dari institusi pendidikan tempatan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Komuniti Jerantut serta peserta antarabangsa dari Indonesia, Jepun, Filipina, Kemboja dan Thailand.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menjalin persahabatan dan pertukaran budaya, malah membolehkan mereka mengenali pelbagai destinasi menarik yang terdapat di Pahang.
“Peserta mengikuti program homestay sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Negara pada keesokan harinya yang merupakan antara tarikan pelancongan utama di Pahang dan Malaysia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Beliau berkata, peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti pelancongan berasaskan komuniti termasuk lawatan ke perkampungan Orang Asli dan aktiviti rekreasi yang memberi pengalaman unik kepada peserta antarabangsa.
Katanya, pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu diharap dapat meninggalkan kenangan manis sekali gus menarik mereka untuk kembali melawat Pahang pada masa depan.
Leong berkata, Homestay Desa Murni dipilih sebagai lokasi program berikutan reputasinya sebagai antara homestay terbaik di negara ini yang pernah menerima pengiktirafan antarabangsa.
“Program homestay merupakan platform terbaik untuk pelawat luar merasai kehidupan masyarakat Malaysia termasuk adat resam, budaya dan makanan tradisional. Homestay Desa Murni antara yang terbaik untuk tujuan itu,” katanya.
Sementara itu, peserta dari Indonesia, Griselda Laurinda, 10, berkata pengalaman menyertai program berkenaan membuka peluang kepadanya mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.
Menurutnya, sepanjang berada di Homestay Desa Murni, dia berpeluang merasai makanan tradisional selain berinteraksi dengan peserta dari beberapa negara ASEAN dan Jepun.
“Saya sangat gembira dapat datang ke Pahang kerana dapat bertemu ramai kawan baharu daripada negara yang berbeza. Penduduk di sini sangat mesra dan baik kepada kami.
“Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di homestay memberi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Saya juga tidak sabar untuk melawat Taman Negara dan berharap dapat datang semula ke Malaysia bersama keluarga pada masa akan datang,” katanya.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk MOTAC, Horizon Malaysia, Horizon Pahang dan Homestay Desa Murni dalam usaha memperkukuh hubungan belia serantau melalui pertukaran budaya dan pengalaman komuniti.-SAHIH
