Gerakan Setia UMNO Jerantut dilancar, 500 ahli berhimpun sebagai persediaan PRU
Foto : Sebahagian ahli UMNO menyantuni seorang warga emas di Felda Jengka 24.
Gerakan Setia UMNO Jerantut dilancar, 500 ahli berhimpun sebagai persediaan PRU
JERANTUT – Kira-kira 500 ahli UMNO Bahagian Jerantut menyertai pelancaran Program Gerakan Setia UMNO yang berlangsung di Padang Awam FELDA Jengka 24, dekat sini, semalam.
Program yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Jerantut dengan kerjasama Pejabat UMNO Bahagian itu dilihat sebagai langkah awal memperkukuhkan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, berkata kehadiran ahli pelbagai peringkat membuktikan kesiapsiagaan jentera parti di bahagian itu sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat.
“Semua ahli hadir dengan penuh semangat sebagai bukti bahawa UMNO Bahagian Jerantut sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Bukan sahaja Pemuda, malah Wanita dan Puteri turut hadir bersama penduduk sekitar FELDA Jengka 24 bagi menjayakan program ini,” katanya.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan turut dihadiri Haris Salleh Hamzah.
Program bermula seawal jam 3 petang dengan konvoi bermotosikal yang disertai Pemuda UMNO Bahagian Jerantut mengelilingi kawasan FELDA Jengka 24 sebelum mereka menyertai ratusan ahli yang berkumpul di padang awam bagi acara pelancaran.
Turut hadir ialah Rozilan Salleh, Zainorin Abidin dan Mohd Izzat Illzam Rosidi.
Program berkenaan menjadi platform menghimpunkan akar umbi parti selain memperkukuh semangat kebersamaan dan kesetiaan ahli dalam menghadapi cabaran politik semasa.- SAHIH.
