Ahli PKR Cabang Jerantut hilang kepercayaan terhadap ketua cabang
Ahli PKR Cabang Jerantut hilang kepercayaan terhadap ketua cabang
JERANTUT – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerantut dilaporkan berdepan kemelut dalaman apabila sejumlah ahli parti menyatakan hilang kepercayaan terhadap Ketua Cabang, Datuk Hassan Basri, dalam satu mesyuarat cabang yang berlangsung di sini semalam.
Menurut laporan FB Jerantut Daily, beberapa pimpinan utama cabang termasuk Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, Ketua Wanita Cabang serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) turut menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju kepimpinan cabang berkenaan.
Antara isu yang dibangkitkan ialah dakwaan kelemahan dalam pengurusan organisasi serta masalah komunikasi dalaman yang didakwa menjejaskan perpaduan dan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
Difahamkan, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa isu berbangkit yang menurut mereka memerlukan tindakan segera bagi memastikan PKR Cabang Jerantut lebih tersusun dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
Dalam mesyuarat itu juga, ahli-ahli yang hadir dikatakan menyuarakan sokongan supaya satu penilaian semula terhadap kepimpinan cabang dilakukan mengikut saluran dan prosedur parti yang ditetapkan.
Perkembangan tersebut dijangka memberi kesan terhadap kekuatan organisasi PKR Jerantut menjelang pemilihan parti serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.-SAHIH.
