ANGKASA-ACFSMC rancak kerjasama koperasi Malaysia-China
ANGKASA-ACFSMC rancak kerjasama koperasi Malaysia-China
XI’AN, CHINA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila mengadakan pertemuan strategik bersama All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC) di Sofitel Xi’an on RenMin Square, di sini, semalam.
Pertemuan rasmi selama 30 minit itu menyaksikan Presiden ANGKASA yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bertemu Presiden ACFSMC, Ms. Wang Yuyan bagi membincangkan hala tuju kerjasama koperasi Malaysia-China yang lebih menyeluruh.

Presiden ANGKASA yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah
Abdul Fattah berkata, hubungan erat yang terjalin sekian lama antara ANGKASA dan ACFSMC menjadi asas kukuh kepada usaha memperluaskan persefahaman serta membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik pada masa depan.
Menurutnya, hubungan itu terbina atas kepercayaan, hormat-menghormati serta komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan gerakan koperasi di peringkat serantau dan global.
“Pertemuan di peringkat kepimpinan seperti ini amat penting untuk memastikan hubungan yang dibina mampu diterjemahkan kepada hasil lebih konkrit dan memberi manfaat kepada koperasi di kedua-dua negara,” katanya.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut mengimbas kembali pelbagai kerjasama terdahulu termasuk program pertukaran, latihan dan penyertaan dalam platform antarabangsa.

Presiden ACFSMC, Ms. Wang Yuyan
Abdul Fattah turut mengiktiraf kekuatan sistem koperasi ACFSMC yang tersusun dan bersepadu terutama dalam menyokong sektor pertanian, komuniti luar bandar serta pembangunan rantaian bekalan.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas kerjasama melalui padanan perniagaan, pembangunan produk serta perdagangan sebenar antara koperasi.
Pertemuan itu diakhiri dengan pertukaran cenderamata dan makan malam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Datuk Haji Abdullah Haji Jusoh serta beberapa pegawai kanan ACFSMC.-SAHIH
