UMNO Jerantut tekankan kesiapsiagaan hadapi PRU-16, sasar dekati pengundi muda
UMNO Jerantut tekankan kesiapsiagaan hadapi PRU-16, sasar dekati pengundi muda
JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut menggesa semua ahli parti di peringkat cawangan meningkatkan kesiapsiagaan serta menyusun strategi lebih tersusun bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Wakil UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, berkata persidangan UMNO Cawangan Bukit Nikmat Utara yang berlangsung petang semalam berjalan lancar dengan kehadiran ahli yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan kehadiran itu membuktikan semangat perjuangan ahli parti masih kukuh selain memberi isyarat bahawa jentera UMNO perlu terus digerakkan secara konsisten bagi memastikan sokongan rakyat tidak terhakis.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Cawangan Bukit Nikmat Utara, Saudara Zaki, yang menjemput saya sebagai pelapor UMNO Bahagian Jerantut serta memberi peluang untuk menyampaikan ucapan bagi membakar semangat perjuangan parti.
“Kita perlu bersedia menghadapi PRU-16 dan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dengan mengatur strategi yang bersesuaian,” katanya.
Razak yang juga Ketua UMNO Cawangan FELDA Jengka 24 berkata, antara tumpuan utama yang perlu diberi perhatian ialah mendekati pengundi berusia 18 hingga 40 tahun khususnya membabitkan saluran 3, 4 dan 5.

Katanya, golongan itu perlu disantuni melalui pendekatan lebih mesra rakyat dan komunikasi berkesan termasuk penggunaan platform digital seperti Facebook, TikTok dan X bagi menyebarkan maklumat serta menangkis propaganda pihak lawan.
Selain itu, beliau menyarankan supaya ahli parti memperbanyakkan penceritaan positif mengenai UMNO secara berterusan, menganjurkan program bersesuaian di kawasan masing-masing serta mengurangkan krisis dalaman yang boleh menjejaskan perpaduan parti.
Terdahulu, Razak turut memberi taklimat kepada ahli UMNO FELDA Jengka 24 termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai persediaan menghadapi PRU-16.-SAHIH
