Kutip minyak terpakai, raih pendapatan RM1,500 sebulan
Kutip minyak terpakai, raih pendapatan RM1,500 sebulan
JERANTUT – Siapa sangka minyak masak terpakai yang sering dibuang begitu sahaja mampu menjadi sumber pendapatan lumayan buat seorang pekerja kontrak di daerah ini.
Tuan Muhammad Sobri Tuan Abdullah, 39, membuktikan usaha kecil boleh membawa pulangan apabila berjaya menjana pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan hasil aktiviti mengutip minyak masak terpakai.
Menurut Sobri, idea tersebut tercetus selepas melihat perkongsian di Facebook mengenai potensi perniagaan berkenaan sebelum dia memberanikan diri mencuba secara kecil-kecilan menggunakan kereta Perodua Kancil miliknya.
“Saya nampak orang buat perniagaan ini di Facebook, modal pun tak besar, jadi saya cuba. Mula sikit-sikit dulu, kutip dan simpan sebelum hantar dalam jumlah besar.
“Bila dah cukup, saya akan sewa lori untuk hantar ke kilang di Klang. Sekali hantar boleh mencecah dua tan,” katanya.
Katanya, dia kini mengutip minyak terpakai secara berperingkat di sekitar bandar Jerantut, Kampung Damak, Kerambit, Kuala Lipis dan sekali-sekala ke Kuala Krau.
Jelasnya, kos sewaan lori sekitar RM500 bagi setiap penghantaran, namun masih mampu memberikan pulangan bersih yang memuaskan.
“Walaupun bukan pekerjaan utama, saya memanfaatkan masa lapang selepas waktu kerja dan pada hujung minggu untuk menjalankan aktiviti tersebut.
“Ini sekadar kerja sampingan. Lepas kerja pukul 5 petang atau hujung minggu, saya akan keluar kutip minyak,” katanya.
Tambahnya, permintaan terhadap minyak masak terpakai untuk tujuan kitar semula semakin meningkat, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk menjana pendapatan tambahan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutama suri rumah agar tidak membuang minyak masak ke dalam longkang kerana boleh mencemarkan alam sekitar.
“Kalau ada minyak terpakai, kumpul dan simpan. Boleh jual, tambah pendapatan dan pada masa sama jaga alam sekitar,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menjual minyak masak terpakai boleh menghubungi Sobri di talian 017-3957067.-SAHIH.
