Enam kematian di Felda Jengka 24 sepanjang Ramadan hingga kini, dua akibat lemas
Enam kematian di Felda Jengka 24 sepanjang Ramadan hingga kini, dua akibat lemas
Jerantut – Seramai enam penduduk Felda Jengka 24 disahkan meninggal dunia sepanjang Ramadan hingga ke hari ini, termasuk dua remaja yang ditemukan lemas dalam kejadian di Kampung Durian Hijau, Jerantut, baru-baru ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, jumlah kematian yang direkodkan dalam tempoh itu memberi kesan besar kepada komuniti setempat yang masih bersedih dengan beberapa kejadian menyayat hati.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24
Razak Daud
“Dari Ramadan hingga ke hari ini, enam orang telah meninggal dunia termasuk dua mangsa lemas,” katanya ketika dihubungi SAHIH hari ini.
Menurut beliau, antara penduduk yang meninggal dunia ialah Mat Razali Idris, 62, yang menetap di Blok 11 dan mempunyai penyakit kencing manis.
Razak berkata, komuniti peneroka kini saling menguatkan semangat serta membantu keluarga yang terkesan dengan beberapa kejadian yang berlaku berturut-turut.
Dalam perkembangan berkaitan, dua mangsa lemas yang ditemukan sebelum ini ialah pelajar berusia 14 tahun dari SMK Jengka 24, Muhammad Danial Haikal Shamsudin dan Muhammad Amirul Ashraf Abdullah.

Kejadian lemas itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dipercayai mandi-manda sebelum dilaporkan hilang dan operasi mencari serta menyelamat dijalankan pihak bomba dengan bantuan penduduk kampung.
Tambah Razak, kejadian demi kejadian yang berlaku sepanjang Ramadan hingga selepas Aidilfitri itu memberi tamparan besar kepada penduduk, namun mereka tetap reda dan menganggapnya sebagai ujian.
“Penduduk Jengka 24 memang rapat, bila berlaku perkara macam ini semua turun bantu dan beri sokongan,” katanya.-SAHIH
