NILAI TAMBAH BANTERAS JENAYAH SIBER
Berita Nasional
NILAI TAMBAH BANTERAS JENAYAH SIBER
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada jenayah siber dan komersial termasuk penipuan secara dalam talian yang dijangka akan menjadi satu trend jenayah utama berikutan perkembangan dan perubahan trend ekonomi dan teknologi digital semasa.
Pakar Penganalisis Jenayah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zaim Ahmad, berkata dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan semua urusan berubah kepada transaksi maya yang lebih dinamik, agensi penguat kuasa perlu melakukan nilai tambah bagi mengekang jenayah yang semakin meruncing ini.
“Sudah tiba masanya agensi penguat kuasa bersama-sama melakukan nilai tambah sama ada daripada sudut peruntukan undang-undang, pendekatan pencegahan, teknologi siber dan seumpamanya.
“Kesediaan ini perlu dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu bagi mengekang penjenayah scam daripada menjerat lebih ramai mangsa,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan digunakan dalam jenayah penipuan atau scammer antaranya suspek tidak mendedahkan identiti mereka melainkan butiran tertentu untuk mendorong mangsa terperangkap dalam taktik licik.
“Pada pandangan saya terdapat beberapa sebab yang menyebabkan orang ramai terjerat, ini termasuk kurangnya kesedaran selain mungkin wujud elemen lain seperti ingin mencuba dan sifat tidak kisah jika kehilangan sedikit wang.
“Agensi kewangan juga perlu melihat aspek tanggungjawab sosial dengan menyedarkan masyarakat bahawa bank bukan institusi yang menggunakan pendekatan menggunakan talian telefon untuk mendorong pelanggan membuat transaksi secara talian.
“Pada masa sama, pengguna perlu bijak menggunakan media sosial iaitu tidak mendedahkan maklumat dan aktiviti peribadi secara terperinci kerana mereka mungkin akan menjadi sasaran penipu,” katanya.
Katanya, antara faktor menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan bagi kes jenayah scam kerana ia bersifat ‘teknikal, ditambah dengan kepakaran mereka menyembunyikan identiti sebenar.
Tambahnya, lebih menyulitkan apabila kebanyakan mangsa kes scam mengambil masa berbulan-bulan sebelum melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa.
BH hari ini melaporkan peningkatan ketara jumlah kerugian ditanggung rakyatMalaysia yang menjadi mangsa penipuan atau scam iaitu sebanyak RM914 juta setakat Jun tahun ini.
Sumber: BH Online