ACO diiktiraf ASEAN sebagai entiti bersekutu
ACO diiktiraf ASEAN sebagai entiti bersekutu
KELANA JAYA: ASEAN Co-operative Organization (ACO) diiktiraf secara rasmi oleh Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) sebagai entiti bersekutu, sekali gus mengukuhkan peranan organisasi itu dalam memperkasa kerjasama koperasi di peringkat serantau.
Pengiktirafan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi bertarikh 2 April 2026 daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn kepada Presiden ACO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang menyatakan permohonan ACO diluluskan oleh negara anggota ASEAN.
Menerusi surat itu, ACO kini disenaraikan dalam Lampiran 2 Piagam ASEAN di bawah kategori ‘Civil Society Organisations’.
ACO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, status sebagai entiti berakreditasi ASEAN membolehkan organisasi itu menikmati pelbagai keistimewaan selain memainkan peranan lebih signifikan dalam ekosistem serantau, selaras Peraturan dan Kriteria Penglibatan Entiti Bersekutu.
“Pada masa sama, ACO turut terikat dengan obligasi serta garis panduan ditetapkan bagi memastikan penglibatan lebih berkesan, tersusun dan berimpak tinggi dalam menyokong agenda ASEAN,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berkenaan disifatkan sebagai pencapaian bersejarah kepada gerakan koperasi di Asia Tenggara serta manifestasi komitmen dan sokongan Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan resolusi dan agenda yang dibincangkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 pada 26 Julai 2024.
Katanya, pengiktirafan itu juga dijangka membuka ruang lebih luas kepada koperasi untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif dan platform ASEAN, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama serantau, memperluas akses pasaran serta meningkatkan daya saing koperasi di peringkat antarabangsa.
ACO ditubuhkan pada 6 Disember 1977 menerusi deklarasi bersama badan koperasi induk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Usaha mendapatkan pengiktirafan rasmi bermula sejak sekretariat berpindah ke Malaysia pada 2014.
Di bawah naungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), ACO turut menganjurkan program berskala besar seperti ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) dan ASEAN Cooperatives Networking 2025 (ACN 2025).
Dengan kekuatan lebih 715,000 koperasi di ASEAN, gerakan koperasi diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi seimbang dan mampan.-SAHIH
