Azan dilaungkan ikhtiar cari dua pelajar lemas, Danial ditemui jam 4.27 petang
Azan dilaungkan ikhtiar cari dua pelajar lemas, Danial ditemui jam 4.27 petang
JERANTUT: Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud mengambil inisiatif melungkan azan di lokasi kejadian sebagai ikhtiar membantu usaha mencari dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Kampung Durian Hijau, di sini, semalam.
Razak berkata, azan itu dilaungkanya sendiri kira-kira jam 11 pagi di tempat dipercayai mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika mandi bersama rakan.
“Alhamdulillah, lebih kurang jam 4.27 petang seorang mangsa ditemui iaitu Muhammad Danial Haikal Shamsudin,” katanya ketika ditemui di tidak jauh dari lokasi kejadian.

Razak Daud-Ketua Peneroka Jengka 24, beliau sendiri melaungkan azan
Dalam kejadian itu, dua pelajar Tingkatan Dua SMK Jengka 24 dilaporkan hilang iaitu Muhammad Amirul Ashraf bin Abdullah, 14, dan Muhammad Danial Haikal bin Shamsudin, 14.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.49 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.23 petang, dengan jarak 18 kilometer.
“Komander operasi menerima makluman awal daripada orang awam yang memaklumkan terdapat dua remaja lelaki berumur sekitar 14 tahun dikhuatiri lemas di lokasi semasa sedang mandi bersama rakan-rakannya.
“Pasukan bomba memulakan operasi dengan membuat pencarian di permukaan air dengan bantuan penduduk kampung,” katanya.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang turut mengarahkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Operasi itu diketuai PBK I 10912 Mohd Faizam Mat Rani bersama lima anggota serta sebuah jentera FRT.
Sehingga malam tadi, seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Amirul Ashraf masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat diteruskan.-SAHIH
