Dua pelajar SMK Jengka 24 dikhuatiri lemas ketika mandi sungai
Dua pelajar SMK Jengka 24 dikhuatiri lemas ketika mandi sungai
JERANTUT: Dua remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Kampung Durian Hijau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.49 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.23 petang, kira-kira 18 kilometer dari balai.
“Komander operasi melaporkan menerima makluman awal daripada orang awam bahawa terdapat dua remaja lelaki berusia dalam lingkungan 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakan.
“Pasukan bomba kemudian memulakan operasi pencarian di permukaan air dengan bantuan orang kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang turut mengarahkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Operasi diketuai PBK I 10912 Mohd Faizam Mat Rani dengan kekuatan lima anggota serta sebuah jentera FRT.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.-SAHIH
