Misi bantu Acheh: Mahabah Asnaf Society rayu dana bina balai pengajian baharu
Misi bantu Acheh: Mahabah Asnaf Society rayu dana bina balai pengajian baharu
KUALA KRAI: Pertubuhan Mahabah Asnaf Society atau lebih dikenali sebagai Cempaka Merah Society merayu sumbangan orang ramai bagi membina semula sebuah balai pengajian untuk anak-anak di Kampung Kuala Cangkoi, Lapang, Aceh Utara, Indonesia yang rosak akibat banjir bandang pada 26 November lalu.
Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed, berkata pihaknya akan mengadakan Program Misi Bantuan ke Acheh pada 8 April ini bagi menyalurkan bantuan serta meninjau sendiri keperluan komuniti yang terjejas.

Menurutnya, balai pengajian sedia ada tidak lagi dapat digunakan selepas mengalami kerosakan teruk akibat bencana berkenaan.
“Buat masa ini anak-anak belajar mengaji dan ilmu agama di dalam khemah. Kami mahu membina balai pengajian baharu supaya mereka dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Che Norhayati berkata, kos pembinaan balai pengajian itu dianggarkan sekitar RM5,000 hingga RM6,000, dengan konsep sumbangan RM50 bagi satu lot.
Selain dana pembinaan, pihaknya turut memerlukan sumbangan berbentuk barangan antaranya wakaf al-Quran bernilai RM17 senaskhah sebanyak 100 naskhah yang boleh dinamakan atas nama pewakaf.
Katanya, sumbangan lain diperlukan termasuk telekung 100 pasang (RM25 sepasang), kain batik atau pelikat 100 helai (RM15 sehelai) serta peci atau ketayap 30 hingga 50 unit.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society (03072010143853) atau menghubungi 011-25466362 untuk pertanyaan lanjut.-SAHIH
