Warga emas PJMM khatam al-Quran, sinar baharu di usia senja
Foto : Warga emas PJMM mengikuti Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Husrin Amat, bekas imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Semenyih.
Warga emas PJMM khatam al-Quran, sinar baharu di usia senja
SEMENYIH – Usia senja bukan penghalang untuk terus menimba ilmu apabila seramai 20 warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan keuzuran dan kekangan fizikal bukan alasan untuk mendekati kalam Ilahi, malah menjadi pemangkin untuk mengisi kehidupan dengan lebih bermakna.
Pencapaian mereka diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung pada 10 Mac 2026, dipimpin bekas imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Husrin Amat, dengan kehadiran beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pegawai Agama PJMM, Ustaz Safii Salleh, berkata kegigihan warga emas terbabit amat mengagumkan kerana mereka tetap berusaha mempelajari al-Quran walaupun berdepan pelbagai cabaran kesihatan dan fizikal.
Menurutnya, ada antara mereka bermula daripada asas mengenal huruf, memperbetulkan bacaan serta tajwid, tanpa rasa malu walaupun perlu mengulang sebutan berkali-kali.
“Sebahagian daripada mereka tidak pernah mengaji atau sudah lama meninggalkannya, namun kesungguhan yang ditunjukkan sangat luar biasa, termasuk dalam kalangan mualaf.
“Kami mengajar dengan penuh kesabaran agar mereka dapat membaca dengan lancar dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.
Tambah beliau, terdapat juga warga emas yang lebih bergantung kepada kaedah mendengar dan menghafal berikutan masalah penglihatan, namun tetap menunjukkan komitmen tinggi sepanjang mengikuti kelas pengajian.
Ustazah Salmah Mohd Sani pula berkata, proses mengajar warga emas memerlukan kesabaran tinggi, terutama bagi mereka yang bermula dengan Iqra, namun kesungguhan yang ditunjukkan amat membanggakan.
“Walaupun kelas diadakan hanya dua kali seminggu, mereka tetap mengaji sendiri di luar waktu kelas dan saling membantu antara satu sama lain.
“Ada juga yang kembali mahir membaca al-Quran selepas sekian lama meninggalkannya,” katanya.
Sementara itu, seorang penghuni, Hilmi Abdul Malek, meluahkan rasa syukur kerana kini mampu membaca al-Quran dengan lebih baik hasil bimbingan tenaga pengajar di pusat jagaan itu.
Katanya, majlis khatam bukan penamat, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus mendampingi al-Quran sebagai penawar emosi dan tekanan hidup.
Bagi seorang lagi penghuni, Sakiah Tomijan, kekangan penglihatan dan pergerakan tidak menghalangnya untuk terus hadir ke kelas pengajian.
“Saya amat berterima kasih kepada ustaz dan ustazah yang sabar membimbing kami tanpa jemu walaupun perlu mengulang bacaan berkali-kali,” katanya.
Program berkenaan membuktikan bahawa mendekati al-Quran mampu memberi sinar baharu dan ketenangan jiwa, khususnya buat mereka yang berada di penghujung usia.-SAHIH.
