Lelaki derita buah pinggang kronik rayu bantuan teruskan hidup
Foto : Ahmad Al-Faizal Omar menunjukkan 30 kotak mengandungi 120 beg air untuk rawatan yang dilakukan di rumahnya.
Lelaki derita buah pinggang kronik rayu bantuan teruskan hidup
JERANTUT – Seorang lelaki berusia 41 tahun terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik selepas menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak lima tahun lalu, kini merayu bantuan orang ramai bagi meneruskan kehidupan dan rawatan harian.
Ahmad Al-Faizal Omar berkata, keadaan kesihatannya semakin serius sejak Mei 2021 sehingga memerlukan rawatan dialisis peritoneal secara berterusan di rumah.

Ahmad Al-Faizal Omar melakukan sendiri rawatan dialisis peritoneal secara berterusan di rumah.
Menurutnya, rawatan itu memerlukan kira-kira 30 kotak bekalan setiap bulan dengan kos mencecah RM3,000 yang kini ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Setiap hari saya menggunakan satu kotak mengandungi empat beg cecair untuk prosedur dialisis di bilik khas di rumah, menjadikan jumlah keseluruhan 120 beg sebulan.
“Rawatan ini perlu dilakukan empat kali sehari mengikut jadual dan tidak boleh dilewatkan kerana boleh menyebabkan komplikasi seperti bengkak akibat lebihan air dalam badan,” katanya.
Tambahnya, isterinya terpaksa berhenti kerja sebagai penghantar barang bagi menjaganya sepenuh masa selepas dia mengalami masalah penglihatan yang semakin merosot, termasuk kehilangan penglihatan pada mata kanan dan kabur pada mata kiri sejak April tahun lalu.
Isterinya, Emi Sabrina Abdul Ghani, 39, berkata mereka kini bergantung kepada pencen ilat PERKESO suaminya kira-kira RM1,100 sebulan selain bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM400.
Katanya, mereka juga perlu menanggung kos rawatan susulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah termasuk pemeriksaan darah dan temujanji pakar.
“Bantuan BKK RM400 itu untuk dua anak kami yang masih bersekolah, masing-masing di tahun tiga dan tingkatan satu.
“Dalam masa sama, kami perlu menanggung sewa rumah RM500 serta kos sara hidup bulanan sekitar RM2,500,” katanya.
Menurutnya, keperluan paling mendesak ketika ini adalah bantuan untuk membina rumah di kampungnya di Sungai Retang.
Sehubungan itu, mereka berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kos rawatan dan kehidupan keluarga.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun RHB Bank (15604400107963 – Ahmad Al-Faizal Omar) atau menghubungi Emi Sabrina di talian 017-9022426.- SAHIH.
