Warga emas PJNH terima katil, tilam baharu sempena Ramadan
Foto: Kakitangan dan sukarelawan syarikat Hibiscus Petroleum merakamkan kenangan bersama-sama pengurusan serta warga emas PJNH.
Warga emas PJNH terima katil, tilam baharu sempena Ramadan
BERANANG – Warga emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) kini lebih selesa menjalani ibadat puasa selepas menerima sumbangan katil, tilam dan kelengkapan tidur baharu daripada syarikat Hibiscus Petroleum.
Seramai tujuh kakitangan dan sukarelawan syarikat itu bergotong-royong memasang 20 katil lengkap dengan tilam, selimut, cadar serta 40 bantal pada 3 Mac lalu.
Pegawai Specialist, Community Relations Hibiscus Petroleum, Lara Ainuddin berkata, sumbangan tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali keenam syarikat itu sepanjang Ramadan bagi membantu pusat jagaan dan rumah kebajikan.
Menurutnya, kakitangan syarikat turut melakukan kerja pembersihan, mengemas bilik penghuni serta menaja majlis berbuka puasa bersama warga emas.
Sementara itu, Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak bagi membantu menampung kos operasi pusat jagaan tersebut.
Katanya, orang ramai juga dijemput menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PJNH pada 4 April depan.-SAHIH.
