Larangan pembakaran mercun di tempat awam
Larangan pembakaran mercun di tempat awam
LIPIS – IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis memandang serius aktiviti pembakaran mercun tanpa kebenaran yang dilakukan di kawasan awam.
Orang ramai adalah dilarang sama sekali menjalankan sebarang aktiviti pembakaran mercun tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, larangan itu melibatkan semua kawasan awam, khususnya di Padang Orang Kaya Haji yang sering menjadi tumpuan orang ramai termasuk kanak-kanak dan keluarga.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berisiko mendatangkan bahaya kepada keselamatan nyawa serta harta benda.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang masih ingkar, di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Katanya, IPD Lipis menyeru kerjasama orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta bersama-sama menjaga keselamatan dan keharmonian komuniti.-SAHIH.
