Berbuka puasa bersama anak Rumah Perlindungan Nur Qaseh
Berbuka puasa bersama anak Rumah Perlindungan Nur Qaseh
KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 30 anak-anak dari Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Taman Melawati diraikan dalam satu program berbuka puasa yang dianjurkan Messrs Haris Salleh & Co bersama rakan strategik mereka dari RHP dan IQI, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu memberi peluang kepada anak-anak terbabit menikmati juadah berbuka puasa sambil meluangkan masa bersama para tetamu yang hadir.
Wakil penganjur, Haris Saleh Hamzah berkata, program itu diadakan sebagai usaha berkongsi kegembiraan Ramadan selain menyantuni anak-anak yang memerlukan perhatian serta kasih sayang masyarakat.
Menurutnya, melihat wajah anak-anak berkenaan tersenyum dan bergelak ketawa ketika menikmati hidangan berbuka puasa memberikan rasa syukur serta menyentuh hati semua yang hadir.
“Walaupun mereka masih kecil, setiap daripada mereka mempunyai kisah kehidupan tersendiri yang mungkin tidak semudah kanak-kanak lain.
“Namun semangat serta keceriaan yang ditunjukkan jelas menggambarkan betapa pentingnya sokongan, perhatian dan kasih sayang dalam membentuk kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata, Ramadan menjadi waktu terbaik untuk mengingatkan masyarakat bahawa kebahagiaan bukan hanya terletak pada apa yang dimiliki, sebaliknya pada apa yang mampu dikongsi bersama golongan memerlukan.
Program itu turut diserikan dengan sesi beramah mesra selain penyampaian sumbangan kepada anak-anak Rumah Perlindungan Nur Qaseh sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.-SAHIH.
