251 saman sejak Januari, 18 motosikal disita dalam operasi terbaru
251 saman sejak Januari, 18 motosikal disita dalam operasi terbaru
BERA – Polis menyita 18 motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di Kilometer 35 Jalan Temerloh–Bahau berhampiran Simpang Sri Buntar di sini, malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu dilaksanakan bermula jam 10 malam pada 7 Mac hingga 5 pagi, 8 Mac lalu.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan bagi membendung aktiviti samseng jalanan selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang trafik.
“Sepanjang operasi dijalankan, polis memeriksa sebanyak 120 kenderaan dan mengeluarkan 80 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“Selain itu, sebanyak 18 motosikal turut disita berkaitan kes Trafik Bera 355/26 di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi berkenaan.
Menurutnya, sepanjang Januari hingga kini, sebanyak 251 saman dikeluarkan dalam operasi motosikal dan Operasi Samseng Jalanan (OSJ) di daerah ini, manakala 24 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti samseng jalanan selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.-SAHIH
