Samun bersenjata stesen minyak, lelaki ditahan
Samun bersenjata stesen minyak, lelaki ditahan
TEMERLOH: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kerdau, di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahrun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada 7 Mac lalu di stesen minyak BHP di Kampung Desa Murni, Kerdau.
Menurutnya, ketika kejadian seorang penjaga kaunter didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan senjata itu ke arah mangsa sebelum mengarahkan mangsa memasukkan semua wang tunai di dalam laci kaunter ke dalam beg galas miliknya.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Persona tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa menganggarkan kerugian kira-kira RM2,000 akibat kejadian berkenaan.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 4.15 pagi semalam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh membuat serbuan di sekitar Temerloh sebelum menahan seorang lelaki berusia 42 tahun.
“Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC, sebuah kereta Proton Persona, beberapa helai pakaian, pisau dan parang, topi keledar, topi, pelitup muka serta sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil samun,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati tangkapan itu turut membantu menyelesaikan dua kes samun di kedai serbaneka 24 jam di Temerloh.
“Bagi kejadian di Taman Bukit Bendera, suspek melarikan rokok dan wang tunai kira-kira RM70 dengan jumlah kerugian dianggarkan RM125.
“Manakala kejadian di Taman Cengal pula membabitkan kehilangan rokok, minuman serta wang tunai kira-kira RM70 dengan jumlah kerugian dianggarkan RM120,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek kini direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.-SAHIH
