KAF SOKONG FELDA AMBIL ALIH TANAH
KAF SOKONG FELDA AMBIL ALIH TANAH
BERA: Cadangan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh untuk mengambil alih semula tanah milik FELDA bagi meningkatkan aliran semula organisasi itu mendapat sokongan penuh badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF) Pahang.
Pengerusi KAF Wilayah Mempaga, Datuk Amizar Abu Adam berkata, sejak penubuhan FGV kira-kira lapan tahun lalu, kebanyakan warga peneroka berdepan masalah pendapatan tidak konsisten selain berdepan isu tunggakan hutang melalui program penanaman semula kelapa sawit di ladang masing-masing.
“Perkara ini sangat membimbangkan kami (KAF) kerana ia membabitkan ramai warga peneroka generasi pertama yang sepatutnya sudah menikmati pendapatan yang lebih baik selepas mengusahakan ladang sejak puluhan tahun.
“Jadi, apabila Datuk (Seri) Idris mengeluarkan kenyataan dan cadangan untuk menambahbaik dan mengambil alih semula tanah FELDA yang dipajak kepada FGV sebelum ini, sudah pasti ia adalah berita menggembirakan semua pihak.
“Kita harap cadangan ini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, demi memastikan kerja keras warga peneroka FELDA selama ini berbaloi dan dapat dinikmati sepenuhnya oleh mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Amizar yang juga Bendahari Agung KAF Malaysia berkata, kebanyakan tanah FELDA boleh mendatangkan perolehan antara RM1.2 billion hingga RM1.8 billion setahun kepada FELDA, namun perolehan itu terjejas sejak tanah terbabit dipajak kepada FGV.
“Sekarang FELDA cuma dapat sekitar RM250 juta dengan tambahan 15 peratus daripada jumlah keuntungan (setahun) dan jumlah ini sangat jauh bezanya dibandingkan anggaran perolehan (kasar) tahunan FELDA jika tanah terbabit tidak dipajak.
“Maknanya, hasrat Pengerusi FELDA untuk mengambil alih semula tanah dipajak adalah sangat realistik dan dijangka dapat membantu meningkatkan taraf hidup warga peneroka secara keseluruhannya.
“KAF juga sangat setuju jika semua tanah ini diambil alih semula bagi memudahkan lagi perancangan dan program disusun atur, demi memastikan warga peneroka FELDA mendapat keuntungan secara lebih sistematik,” katanya.