UPSI santuni mangsa banjir Acheh, kukuh misi pengantarabangsaan
Foto : Sukarelawan UPSI mengangkat barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
UPSI santuni mangsa banjir Acheh, kukuh misi pengantarabangsaan
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah baharu dalam misi pengantarabangsaan apabila menjadi universiti awam pertama dari Malaysia yang tampil menyantuni serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pidie Jaya, Banda Acheh, Indonesia.
Inisiatif proaktif itu digerakkan menerusi gabungan strategik Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dan Pusat Alumni UPSI melalui program Kembara Santuni Alumni Antarabangsa yang berlangsung dari 15 hingga 19 Februari 2026.

Dr Abdul Halim Masnan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada alumni UPSI di Banda Acheh.
Timbalan Dekan FPM, Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan berkata, misi berkenaan adalah manifestasi keprihatinan seluruh warga universiti terhadap nasib saudara serumpun yang masih dalam fasa pemulihan pascabencana banjir lumpur.
Menurut beliau, seramai 12 delegasi UPSI turun padang menyampaikan sendiri pek keperluan asas harian kepada keluarga terjejas sebagai usaha meringankan beban mereka, khususnya menjelang Ramadan.
“Kehadiran kami sebagai universiti pertama yang menjejakkan kaki ke kawasan ini untuk misi bantuan adalah satu tanggungjawab moral supaya saudara kita di sini tidak terpinggir daripada menerima sokongan material dan moral,” katanya.
Dalam sesi berasingan di Universitas Syiah Kuala (USK), UPSI turut menyerahkan sumbangan tunai berjumlah RM10,000 kepada alumni universiti itu yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Sumbangan tersebut diagihkan bagi membantu meringankan beban kewangan alumni yang sedang berdepan kesan pascabanjir.
Sepanjang lima hari lawatan di USK, delegasi UPSI turut memperkukuh kerjasama akademik menerusi penganjuran Seminar Internasional bertemakan Menguatkan Fitrah Anak Usia Dini Melalui Konseling dengan kerjasama Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling (HIMA BK) serta HIMA PAUD, Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP).
Seminar berkenaan menjadi platform strategik mempromosikan program pascasiswazah UPSI sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar serta tenaga pengajar Indonesia melanjutkan pengajian di kampus Tanjung Malim.
Sementara itu, Pusat Alumni UPSI turut mengadakan pertemuan bersama 45 alumni yang kini berkhidmat di Acheh bagi tujuan pengemaskinian profil kerjaya dan pengukuhan pangkalan data.
Delegasi juga mengadakan sesi Ziarah Kasih ke Sekolah Dasar Islam Terpadu Bayyinah Tahfizul Qur’an yang dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh alumni UPSI, sekali gus membuktikan kualiti serta kemenjadian graduan universiti berkenaan di peringkat antarabangsa.
Dr Abdul Halim berkata, sinergi antara FPM dan Pusat Alumni dalam misi tersebut memperlihatkan keupayaan UPSI bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh dalam mengimbangi usaha menarik kemasukan pelajar antarabangsa serta menyantuni kebajikan komuniti serantau menjelang Ramadan.-SAHIH.
