Warga Thailand ditahan bersama 488 gram ganja di Plaza Tol Maran
Warga Thailand ditahan bersama 488 gram ganja di Plaza Tol Maran
MARAN – Seorang lelaki warga Thailand berusia 40 tahun diberkas dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di hadapan tandas awam Plaza Tol Maran, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superitendan Wong Kim Wai, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 10.15 malam pada 26 Februari hasil risikan terperinci dan operasi oleh pasukan BSJN IPD Maran.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beg galas milik suspek menemukan satu keratan bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah berbahaya jenis ganja seberat 488 gram.
“Suspek kini direman selama tujuh hari di lokap IPD Maran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Maran tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Memiliki, mengedar serta melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya. -SAHIH.
