5 rentung rumah terbakar di Ulu Dong
5 rentung rumah terbakar di Ulu Dong
RAUB – Lima individu ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah separuh kekal di No 38, Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, di sini, awal pagi hari ini.
Kejadian kira-kira 3.44 pagi itu dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, jentera tiba pada 4.15 pagi selepas menempuh jarak 32 kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi.
“Lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki pam jentera bomba.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.48 pagi dan rumah berkenaan musnah sepenuhnya.
“Tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar dalam kejadian itu,” katanya.
Operasi membabitkan sembilan anggota bersama dua jentera FRT dan satu unit EMRS dari BBP Raub, dengan bantuan lima anggota serta satu jentera FRT dari BBP Lipis.

Pegawai Penyiasat Kebakaran Zon Lipis sudah dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Identiti mangsa akan dimaklumkan dalam sidang media di Raub.-SAHIH
