Tahlil perdana bersempena ambang Ramadan
Foto : Sebahagian penduduk berganding bahu mengelap cermin dan mengecat dinding masjid.
SEMENYIH – Program gotong-royong yang disusuli kuliah khas dan tahlil perdana bersempena ambang Ramadan terus menjadi medium terbaik memupuk semangat kebersamaan serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Mengambil keberkatan menjelang bulan mulia itu, Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, menganjurkan Program Kenduri Rakyat, Gotong-Royong dan Tahlil Perdana selama dua hari di pekarangan masjid berkenaan.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rinching Hulu dan Tengah itu turut diisi dengan Kuliah Ambang Ramadan yang disampaikan Kapten Maritim, Nik Kamruddin Yunoh.

Penduduk kampung bergotong-royong menyembelih serta melapah lembu dan kambing.
Pengarah program, Samsudin Zainal berkata, penganjuran berkenaan bertujuan mengeratkan ukhuwah serta menggalakkan kehadiran kariah ke masjid bukan sahaja pada Ramadan, malah berterusan selepas itu.
“Walaupun pelbagai program sebelum ini telah diadakan, AJK masjid sentiasa berusaha mendekati masyarakat agar lebih ramai hadir solat berjemaah dan menyertai aktiviti komuniti. Program seperti ini membuka ruang penduduk pelbagai peringkat usia dan latar belakang berinteraksi serta mengenali pemimpin setempat,” katanya.
Antara aktiviti dijalankan termasuk membersihkan kawasan dalam dan luar masjid seperti memotong rumput, menebas semak, mengecat dinding, membersihkan karpet, mengelap cermin dan mengemop lantai. Turut diadakan penyembelihan serta melapah lembu dan kambing sebagai persediaan kenduri rakyat, manakala kaum wanita bergotong-royong di dapur menyediakan juadah termasuk nasi beriani Johor.
Program itu membabitkan penyertaan AJK masjid, Grup Kubur kampung, bomba sukarelawan, pelajar MARA Japan Industrial Institute (MJII), Tahfiz Al-Ikhwan serta ahli kariah. Majlis turut dihadiri penghulu, wakil ahli Parlimen dan Balai Polis Semenyih.
Seorang kariah, Zool Fazlee Nordin menyifatkan program berkenaan berjaya menyemarakkan semangat kejiranan dan muafakat. Pegawai Perhubungan MKKRH/Balai Polis Semenyih, Koperal Azlan Ahmat pula berharap kerjasama antara polis dan komuniti terus diperkukuh demi keharmonian setempat.-SAHIH.
