Lorong Kasih Sayang Mentakab semarak sambutan Tahun Baharu Cina
Lorong Kasih Sayang Mentakab semarak sambutan Tahun Baharu Cina
TEMERLOH : Mentakab kini mempunyai satu lagi tarikan pelancongan baharu apabila Lorong Kasih Sayang yang bertemakan cinta dan romantik siap dibangunkan dan dirasmikan malam tadi, sekali gus menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan berkenaan.
Majlis perasmian lorong itu diserikan dengan persembahan gendang dan tarian singa sebagai pembuka acara, selain pengagihan angpau kepada pengunjung, yang menambah kemeriahan suasana perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, yang merasmikan Lorong Kasih Sayang, berkata pembangunan lorong berkenaan membuktikan komitmen kepimpinan tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.
Menurutnya, Temerloh antara daerah yang aktif memajukan sektor pelancongan apabila kepimpinan tempatan bekerjasama secara proaktif dengan pelbagai pihak bagi membangunkan identiti komuniti serta menarik kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 daripada kerajaan Pahang bagi menyokong penganjuran pasar Tahun Baharu Cina selama tiga malam di Lorong Cahaya, yang turut disambungkan dengan Lorong Kasih Sayang.
Lorong Kasih Sayang yang terletak di lorong belakang Jalan Mok Hee Kiang menampilkan gabungan lukisan mural seni, hiasan bunga serta pencahayaan dekoratif yang mewujudkan suasana romantik dan mesra pengunjung.
Antara mural yang menjadi tumpuan ialah lukisan seorang gadis memandang ke arah lautan bunga yang melambangkan harapan dan impian kebahagiaan, selain lukisan pasangan pengantin menaiki basikal bersama yang membawa maksud perjalanan hidup yang dilalui bersama hingga ke akhir hayat.
Tulisan pada dinding seperti “Kami berkahwin” dan “Berpegangan tangan seumur hidup” turut memperkukuh konsep keseluruhan lorong yang berteraskan jodoh dan cinta, sekali gus menjadikannya lokasi pilihan pasangan pengantin dan orang ramai untuk bergambar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan, berkata projek Lorong Cahaya yang siap pada Januari tahun lalu terus ditambah baik menerusi peruntukan sendiri serta sumbangan masyarakat bagi pemasangan tanglung dan lukisan mural.
Katanya, pembinaan Lorong Kasih Sayang membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti dalam mencantikkan kawasan, sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan tempatan.

Pasar Tahun Baharu Cina di Lorong Cahaya turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 40 gerai mengambil bahagian, menawarkan pelbagai jualan termasuk makanan dan minuman, kuih-muih perayaan, bak kwa serta bunga hiasan.
Turut diadakan gerai kaligrafi yang menampilkan penulisan ucapan Tahun Baharu secara langsung, membolehkan pengunjung membawa pulang hiasan tulisan tangan sebagai simbol doa dan harapan sempena musim perayaan.-SAHIH
