SUDAH 70 PERATUS KERJA PEMBERSIHAN DILAKUKAN
Berita Nasional
SUDAH 70 PERATUS KERJA PEMBERSIHAN DILAKUKAN
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan Sungai Kundang yang terbabit pencemaran bahan biodiesel masih giat dijalankan oleh pihak kilang.
Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dalam kenyataannya memaklumkan kerja pembersihan berkenaan mengambil masa berikutan ia perlu dilakukan secara manual.
“Sehingga jam 2 petang tadi, pembersihan berada pada 70 peratus dan kita masih tidak pasti berapa lama masa akan diambil untuk pembersihan itu berikutan ia tidak boleh menggunakan teknologi ataupun mesin.
“Kerja pembersihan terpaksa dilakukan secara manual kerana membabitkan campuran air, sisa minyak dan sampah buangan seperti botol dan bekas makanan polistrin,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MPS akan meneruskan pemantauan sehingga kerja pembersihan siap.
Katanya, pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengambil sampel dan menunggu keputusan makmal untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, kerajaan Selangor mengesahkan kilang yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang, kelmarin adalah industri berlesen di bawah pentadbiran MPS.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata siasatan mendapati kilang itu terletak di kawasan perindustrian Kundang, Rawang.
Loy Sian dilaporkan berkata, kilang berkenaan berlesen dengan MPS sudah beroperasi selama 19 tahun, sejak 2001 yang mana ia adalah kilang membuat dan memproses produk minyak kelapa sawit.
Sumber : BH