Koperasi Ex-Rail Bhd anjur lawatan industri sokong usahawan bumiputera
Foto : Ahli Koperasi Ex-Rail Bhd merakamkan kenangan di depan sebuah kilang yang dilawati.
Koperasi Ex-Rail Bhd anjur lawatan industri sokong usahawan bumiputera
SEKINCHAN – Penganjuran lawatan ke industri yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera mampu memberi manfaat besar dalam memperkasa ekonomi tempatan, mempromosikan produk unik serta menyokong keterjaminan makanan negara.
Menyedari kepentingan itu, Koperasi Ex-Rail Bhd menganjurkan siri lawatan kali kedua ke beberapa kilang pengeluaran makanan di Sekinchan, Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor pada 4 Februari 2026.
Program tersebut disertai 44 ahli koperasi yang berpeluang meninjau operasi beberapa kilang milik usahawan Bumiputera, antaranya Sos Ayzima, Baulu Panas, Biorich, Kerepek Tusimah dan Beras Haji Dorani.
Pengerusinya, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek berkata, lawatan berkenaan bukan sahaja membuka minda ahli mengenai proses penghasilan produk makanan, malah memberi inspirasi untuk meneroka peluang perniagaan baharu.
Menurut beliau, kejayaan usahawan terbabit membina kilang sendiri dan memenuhi permintaan pasaran wajar dijadikan contoh oleh ahli koperasi.
“Ahli digalakkan merebut peluang perniagaan termasuk menjadi pengedar produk keluaran kilang yang dilawati bagi merancakkan lagi perniagaan koperasi.
“Walaupun lawatan ini turut mengeratkan ukhuwah dan memberi peluang ahli membuat persiapan menjelang Ramadan, fokus utama tetap kepada usaha meningkatkan pendapatan serta memperkukuh tabung koperasi,” katanya.
Beliau menambah, potensi menjalinkan kerjasama strategik dan kolaborasi baharu dengan pengilang terbabit termasuk memasarkan produk makanan di Kuala Lumpur mampu memberi pulangan yang menguntungkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi koperasi, Abdul Rahim Osman berkata, lawatan tersebut membuka ruang kepada ahli membantu meningkatkan pendapatan usahawan luar bandar.
Katanya, ahli juga digalakkan mempromosikan produk keluaran usahawan yang dikunjungi kepada komuniti setempat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Paling penting, lawatan ini membuka peluang kerjasama sekiranya koperasi mengambil inisiatif menjadi pengedar produk makanan ringan termasuk secara dalam talian, sekali gus menambah sumber pendapatan,” ujarnya. – SAHIH.
