Pahang First Fun Run Jerantut Himpun Hampir 2,000 Peserta
Pahang First Fun Run Jerantut Himpun Hampir 2,000 Peserta
JERANTUT – Penganjuran Pahang First Fun Run yang berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta menjadikan Jerantut antara tumpuan utama aktiviti sukan dan rekreasi di Pahang, sekali gus membuka ruang kepada persatuan belia dan sukan tempatan untuk lebih aktif menganjurkan program berimpak tinggi yang diadakan di Jerantut, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar daerah, yang majoritinya golongan belia, membuktikan minat terhadap aktiviti larian serta amalan gaya hidup sihat semakin meningkat.
Menurutnya, antara program yang dirancang ialah Mara Lasak Pahang, iaitu acara sukan lasak berpasukan sejauh 14 kilometer dengan bebanan lima kilogram yang dijadualkan berlangsung di Chini.
“Program ini melibatkan penyertaan agensi kerajaan, badan beruniform, komuniti serta pelajar dan dikhususkan untuk rakyat Pahang,” katanya.
Beliau turut berkata Pahang memiliki pelbagai lokasi berasaskan alam semula jadi yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi sukan dan rekreasi, termasuk Jerantut yang kaya dengan laluan hutan, bukit, gunung serta aktiviti air.
Sehubungan itu, beliau menyarankan persatuan belia dan sukan merangka kalendar aktiviti secara berterusan, memperkukuh jaringan kerjasama serta memanfaatkan kemudahan sedia ada bagi menarik penyertaan komuniti setempat. – SAHIH
