GURU,KAKITANGAN SMK DUHA JALANI SWAB TEST
REMBAU: Seramai 481 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Haji Adnan (SMK DUHA), dekat sini, menjalani swab test COVID-19 hari ini, susulan seorang pelajar lelaki tingkatan satu sekolah berkenaan didapati positif COVID-19 Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, saringan bermula jam 9 pagi sehingga 1.30 petang membabitkan kerjasama daripada 61 individu dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau.
“Saringan bukanlah merupakan kontak rapat pelajar tersebut, namun, merupakan langkah proaktif yang diambil pihak PKD bagi memastikan tiada penularan berlaku.
“ni merupakan mass sampling melibatkan guru, kakitangan dan pelajar sekolah. Semua yang disaring hanya akan kuarantin sendiri di rumah sehingga keputusan swab test COVID-19 diperolehi.
“Khamis lalu, 68 swab test telah dilaksanakan membabitkan enam individu dari rumah pesakit, tujuh guru tuisyen, lima orang dari rumah rakan pesakit, rakan sekelas, guru yang mempunyai kontak rapat, pelajar dan pemandu van sekolah yang dinaiki pesakit,” katanya, dekat sini, tadi.
SMK DUHA ditutup bermula Jumaat hingga 29 Oktober ini.
Untuk rekod, di Negeri Sembilan selain SMK DUHA, dua buah sekolah lagi yang ditutup akibat COVID-19 iaitu SMK Tunku Besar Tampin, Khamis lalu apabila seorang pelajar tingkatan tiganya positif COVID-19, diikuti Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang apabila 33 pelajarnya didapati positif COVID-19 Rabu lalu.
Sumber: KOSMO! Online