Derita pelbagai penyakit kronik, Norhafaiza rayu bantuan kos ubat
Derita pelbagai penyakit kronik, Norhafaiza rayu bantuan kos ubat
KUANTAN – Hidup dalam kesakitan hampir setiap hari, seorang wanita di sini, Norhafaiza Taib, yang menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk kerosakan saraf mata, masalah buah pinggang tahap empat, kencing manis, darah tinggi serta kemurungan, kini merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung sendiri.
Norhafaiza berkata, keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat serta kerosakan saraf mata yang serius, selain mengalami masalah saraf yang menyebabkan kesakitan pada sendi dan seluruh badan.
Katanya, masalah kesihatan itu turut menjejaskan kualiti hidup apabila dia mengalami gangguan tidur kronik hampir dua tahun sehingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur.
“Saya terpaksa membeli sebahagian ubat dari luar kerana tidak semua rawatan dapat dibekalkan. Kos ini saya tanggung sendiri dan memang membebankan,” katanya.
Menurutnya, doktor memaklumkan tahap kerosakan pada matanya adalah sangat serius.
“Doktor kata kerosakan mata hampir 90 peratus. Jika melakukan pembedahan sekali pun, tiada jaminan hasilnya dan peluang hanya 50-50,” katanya.
Dalam pada itu, Norhafaiza berkata, suaminya bekerja sebagai nelayan dan pendapatan keluarga hanya bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk menampung kos rawatan serta keperluan harian keluarga.
Beliau yang pernah berkhidmat hampir 13 tahun dalam satu program kebajikan berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kos rawatan dan ubat-ubatan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun RHB atas nama Norhafaiza Taib (15605000041459)-SAHIH
