Bukan mabuk, sebaliknya terlelap sebelum rempuh lori
Bukan mabuk, sebaliknya terlelap sebelum rempuh lori
TEMERLOH – Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 144, Jalan Lanchang–Mentakab, dekat Taman Mentakab Indah, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.11 pagi, 5 Januari lalu.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam, 4 Januari membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori yang sedang bergerak di laluan menghala ke Bandar Mentakab.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Lanchang ke Mentakab.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai terlelap sebelum kenderaannya memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nasyim berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami luka kecil di bahagian belakang kepala dan menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Menurutnya, pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kereta mengalami kerosakan pada bahagian hadapan manakala lori turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas dakwaan tular di media sosial yang mendakwa pemandu mabuk, Mohd Nasyim menegaskan siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang terlelap semasa memandu.-SAHIH
