Pejalan kaki maut dilanggar di CSR Bentong
Pejalan kaki maut dilanggar di CSR Bentong
BENTONG – Seorang pejalan kaki lelaki maut selepas dilanggar sebuah Perodua Myvi dalam kemalangan di Kilometer 13.5, Lingkaran Tengah Utama (CSR), dari arah Raub ke Kuala Lumpur, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi, 2 Februari lalu, ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pejalan kaki terbabit dipercayai melintas secara tiba-tiba dari pembahagi jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum pelanggaran berlaku.
“Akibat kejadian itu, mangsa diseret sejauh kira-kira 10 meter dari tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Zaiham berkata, mangsa dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun, namun sehingga kini identitinya belum dikenal pasti.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian dan ke atas mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
“Mangsa memakai baju kurta berwarna ungu gelap dan berseluar jean hitam ketika kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana waris yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke Bahagian Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi tujuan pengecaman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-SAHIH
