SANTUNI ANAK YATIM, ASNAF SEMPENA PEMBUKAAN RESTORAN MOHD CHAN GENTING PERMAI
SANTUNI ANAK YATIM, ASNAF SEMPENA PEMBUKAAN RESTORAN MOHD CHAN GENTING PERMAI
BENTONG – Majlis Santuni Kasih Diraja Bersama Anak Yatim dan Asnaf yang diadakan sempena Pembukaan Rasmi Restoran Mohd Chan Genting Permai, hari ini, mencerminkan komitmen berterusan jenama tempatan itu dalam mengangkat nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Majlis berkenaan bertambah istimewa apabila Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berkenan berangkat mencemar duli, sekali gus mencerminkan sokongan institusi diraja terhadap inisiatif kebajikan yang digerakkan oleh sektor korporat.
Bukan sekadar acara pembukaan sebuah restoran, majlis itu menjadi platform menyantuni golongan memerlukan khususnya anak yatim dan asnaf melalui pendekatan berteraskan kasih sayang, kebersamaan serta keprihatinan masyarakat.
Antara pengisian utama majlis termasuk bacaan doa oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan serta pelancaran Charity Car Mohd Chan sebagai simbol komitmen berterusan terhadap kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat.

Turut berlangsung penyampaian Sijil Pengiktirafan ASEAN RECORD – First and Largest Chinese Muslim Direct-Owned Chinese Restaurant Chain, yang mengiktiraf perjalanan Mohd Chan Group sebagai jenama tempatan yang telah beroperasi sejak 2007 dan berkembang berlandaskan prinsip integriti, kelestarian serta konsep Halalan Toyyiban.
Sementara itu, Pengurus Besar Mohd Chan Group, Datuk Mustapa Mohd Chan, berkata, pihaknya sentiasa menekankan aspek kebajikan khususnya kepada anak yatim dan golongan asnaf seiring dengan perkembangan serta peluasan rangkaian restoran berkenaan.
Menurutnya, setiap pembukaan cawangan baharu dijadikan sebagai satu norma untuk melaksanakan program kebajikan, namun penganjuran majlis kali ini lebih bermakna berikutan pemergian bapanya kira-kira empat bulan lalu yang banyak menitikberatkan kerja-kerja kebajikan semasa hayatnya.

“Justeru, tahun ini kami mahu meneruskan usaha kebajikan dengan lebih mendalam dan lebih fokus, khususnya kepada anak-anak yatim dan asnaf. Sebab itu tercetus cadangan untuk mengadakan majlis santunan bersama golongan ini sempena pembukaan rasmi restoran,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dan peluang yang ada, pihaknya turut memperoleh perkenan Istana Pahang untuk mengadakan majlis berkenaan bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, sekali gus menjadikan penganjurannya lebih bermakna.
Mengulas pelancaran Charity Car Mohd Chan, Datuk Mustapa berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan pergerakan pasukan syarikat bagi menyertai lebih banyak aktiviti kebajikan, termasuk program ziarah Ramadan, kerjasama dengan institusi zakat serta projek baik pulih rumah anak yatim.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penerimaan Sijil Pengiktirafan ASEAN RECORD sebagai rangkaian restoran Cina Muslim pertama dan terbesar bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk terus memperkukuh pengurusan serta memartabatkan konsep pemakanan Cina Muslim.
“Ketika ini kami mempunyai 28 cawangan yang beroperasi di seluruh negara dan semuanya adalah milik syarikat sepenuhnya tanpa sistem francais. Pembukaan restoran di Genting Permai merupakan cawangan ke-26, dengan dua lagi cawangan baharu dibuka selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan untuk memperkukuh pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan peluasan ke luar negara sekiranya terdapat peluang bersesuaian.-SAHIH
