Pendokumentasian Buletin IMPAK perkukuh ekosistem NGO negara
Foto : Dr Mohd Ali Rustam melakukan gimik pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia sambil diperhatikan Dr Abdul Latiff Abu Bakar(dua dari kanan).
Pendokumentasian Buletin IMPAK perkukuh ekosistem NGO negara
Usaha pendokumentasian dan penerbitan Buletin IMPAK NGO Malaysia dilihat sangat signifikan dalam membantu sektor organisasi bukan kerajaan (NGO) berdepan cabaran yang semakin kompleks, khususnya berkaitan pembiayaan, tadbir urus, ketelusan serta keperluan membina kepercayaan awam yang menuntut pendekatan lebih tersusun dan profesional.
Pelancaran buletin berkenaan dengan tema Suara Komuniti, Inspirasi Negara disifatkan tepat pada masanya kerana bukan sekadar platform laporan, sebaliknya menjadi satu rekod sejarah sosial yang merakamkan peranan dan sumbangan NGO kepada masyarakat.

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mewakili Yayasan Nurjiwa untuk menerima Anugerah Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti).
Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Perdana NGO Malaysia, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata buletin itu akan mendokumentasikan perjalanan, cabaran serta pencapaian NGO secara berfakta dan berwibawa.
Menurutnya, penerbitan berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada kerja lapangan NGO yang sering tidak kelihatan, namun amat bermakna kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau melihat buletin itu sebagai sumber rujukan bernilai tinggi kepada pelajar dan penyelidik, selain membantu pembuat dasar memahami realiti di peringkat akar umbi serta meyakinkan sektor korporat untuk menjalin kerjasama strategik dengan NGO.
Dr Abdul Latiff berharap buletin berkenaan akan terus berkembang sebagai platform penyatuan suara NGO dari seluruh negara, menjadi jambatan antara NGO, kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih tersusun dalam menangani isu sosial yang semakin mencabar.
Menurutnya, inisiatif itu juga diharap mampu menyemai minat dan kesedaran generasi muda terhadap kesukarelawanan serta kepimpinan sosial sejak awal.
Beliau turut menyambut baik kerjasama strategik antara Yayasan Generasi Malaysia dan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menggabungkan pengalaman lapangan dengan kekuatan akademik serta kepakaran penerbitan profesional.
“Kerjasama itu penting bagi memastikan kandungan buletin berkualiti, berintegriti dan relevan untuk rujukan jangka panjang,” katanya di Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 serta pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh NGO Belia, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata pengiktirafan tersebut menyuntik semangatnya untuk terus berbakti dalam bidang kebajikan.
Penerima Anugerah Penggerak Cemerlang Gabungan NGO Belia Malaysia, Muhammad Hanafi Jalalludin, pula menyifatkan anugerah itu sebagai amanah untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin NGO belia yang berintegriti dan berdaya saing.-SAHIH.
